Wednesday, June 30, 2010

Belajar Ilmu Ikhlas...

"Mari ku ajarkan mu tentang ikhlas," kata seorang guru kepada muridnya. "Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya.“ "Tak payah, bawa sahaja karung guni.“ "Karung guni?" soal anak muridnya, seperti tidak percaya. "Mari kita ke pasar!"


Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu. "Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu," kata guru itu memberi arahan. Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan. "Cukup?“ "Belum, isi sampai penuh karung guni itu. Lebih banyak lebih baik."

Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa pun. Gurunya hanya berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar. "Tok guru, kita tidak beli apa-apa kah?“ "Tidak. Bukankah karung guni mu telah penuh?“ "Ya, ya..." kata murid itu sambil memikul guni yang berat itu kelelahan.



"Banyak beli barang," tegur seorang kenalan apabila melihat anak murid itu memikul guni yang berisi penuh dengan batu-batu. "Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya. Banyak sungguh barang yang mereka beli," bisik orang lalu-lalang apabila melihat guru dan anak murid tersebut. "Agaknya, mereka hendak buat kenduri dengan barang-barang yang banyak itu," kata orang yang lain.



Sampai sahaja di tempat tinggal mereka, murid tadi meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi. "Oh, letih sungguh... apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni Tok?“ "Tak buat apa-apa.“ "Eh, kalau begitu letih sahajalah saya," balas anak murid. "Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas..."

"Bagaimana?" tanya anak murid itu kehairanan. "Kamu dah belajar apa akibatnya tidak ikhlas dalam beramal."



"Dengan memikul batu-batu ini?"



"Ya. Batu-batu itu umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan tetapi hanya batu-batu..."



"Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?"



"Ya, hanya beratnya sahaja yang terpaksa ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat, hanya penat..."



"Ya, sekarang saya sudah faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas!" ujar murid itu.



Sekarang dia sudah faham apa akibatnya RIYAK dalam beramal.



PENGAJARAN

• Ramai manusia tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian orang. Padahal kata pujian daripada orang-orang itu tidak akan memberi manfaat pun kepadanya pada hari akhirat. Malah, mengharap pujian daripada manusia hanya akan menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka. Rugi benar orang yang tidak ikhlas, terseksa di dunia, terseksa di akhirat.

3 comments:

  1. slm..mm..alhamdulillah bagus citer ni..benar,mmg susah utk kita betul2 ikhlas..so xpayah la termakan pujian..memuji blh..tp x seharusnya berlebihan..dan yg kena puji 2 msti la pandai2 jaga hati..aggap segala pujian itu hanya Allah yg berhak..dan aggaplah pujian itu utk kita trus cuba yg terbaik..ok..slmt beramal.. (^_^)

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum, beratus2 tahun lamanya tidak menjejak kaki ke tertak AMirul Mukmini ni, namun entry ini bagus tuk dikongsi, ana ingin memberi sedikit perkongsian melalui cerita diatas boleh dikaitkan dengan gol yg berilmu tetapi munafiq amalnya.(moga kita tidak tergolong dikalgn ini.na'uzubillah)

    Seperti yg kita tahu, menjadi seorang yang berilmu adalah sebuah penghormatan dan kemulian. Banyak hadith-hadith dan firman Allah yang menggambarkan betapa tingginya darjat orang yang berilmu..antaranya ialah:

    Firman Allah, “Dan tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat dan tidak (pula) sama gelap gulita dengan cahaya, dan tidak (pula) sama yang teduh dengan yang panas.” (Surah al-Fathir 35:19-21)

    Namun virus-virus ujub dan tidak mengamalkan ilmu yang ada semakin lama semakin membarah di kalangan penuntut ilmu. Sungguh ramai para penuntut ilmu mula mencari ilmu untuk kemegahan dan keuntungan dunia. Manakala ada juga sebahagian dari mereka, mencari ilmu semata-mata untuk berdebat dan menguji para ulama yang ada.

    Rasulullah pernah memberi amaran kepada penuntut ilmu tentang hal ini. Sabda Rasulullah SAW, “Jangan mempelajari ilmu untuk menyombongkan diri pada ulama, berbangga dengan orang yang jahil, serta memilih-milih majlis. Sesungguhnya barangsiapa yang melakukan hal tersebut, dia akan masuk ke dalam neraka, dia akan masuk ke dalam neraka.” (Hadith direkodkan Ibn Hibban dengan para perawi yang dipercayai lagi sahih, demikian terang Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Sahih Ibn Hibban)

    Begitu juga dengan sesiapa yang menuntut ilmu niatnya kerana ingin mendapat keuntungan dunia. Rasulullah telah memberi amaran keras terhadap golongan ini. Sabda Rasulullah SAW, “Seharusnya seseorang yang mempelajari sesuatu ilmu adalah untuk mendapat keredhaan Allah, namun jika dia mempelajarinya adalah kerana untuk memperoleh kesenangan dunia, maka dia tidak akan mencium bau Syurga pada hari Kiamat.” (Hadith direkodkan Ibn Hibban dan dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Sahih Ibn Hibban)

    Oleh sebab niat yang tidak jujur dan ikhlas menuntut ilmu kerana Allah, membuatkan ilmu yang ada hanyalah setakat di lidah tanpa ada pengamalan. Sedangkan ilmu itu haruslah disusuli dengan amalan, kerana ilmu adalah imam dan amal adalah makmum.

    Akhir kalam, apa kan jadi jika ilmu yg ada hanya setakat dilidah tanpa pengamalan?
    maka akan lahirlah orang yang MUNAFIQ tetapi ALIM lisannya (moga kita bkn dikalagn ini..na'uzubillah)

    Sekian, barakallahufik.(asif panjang sgt)

    ReplyDelete

Terima kasih atas komen yang diberikan. Smga Allah merahmati dan menbahagiakan anda...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails